Dakwa diganggu polis, @Qhaishaaantsha diminta tampil buat laporan

SUSULAN dakwaan seorang wanita mengenai dakwaan diganggu anggota polis, individu tersebut digesa untuk tampil membuat laporan berhubung kejadian itu.

Wanita berkenaan yang juga merupakan pengguna akaun Twitter Lord Pretty @Qhaishaaantsha digesa untuk berbuat demikian bagi membantu siasatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut.

Kenyataan yang dikeluarkan polis.

“Gambar kereta jenis Honda Civic yang ditularkan disahkan milik kereta peronda polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya.

“Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya wujud salah laku seperti didakwa. IPD Petaling Jaya tidak akan sesekali berkompromi dalam apa jua isu membabitkan pelanggaran undang-undang melibatkan anggota PDRM,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin berkata, masyarakat diseru untuk tampil membuat aduan ke balai polis berhampiran sekiranya berlaku salah laku dan pelanggaran undang-undang melibatkan anggota polis.

Terdahulu tular di Twitter ciapan pemilik akaun bernama @qhaishaaantsha yang memuatnaik gambar kereta peronda polis mendakwa anggota polis di dalam kenderaan tersebut melakukan gangguan seksual terhadapnya.