Buli di kem tentera, DM saya terus – Hishammuddin

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menggesa individu yang mendakwa wujud kes buli dan pemerasan wang di sebuah kem tentera agar terus membuat aduan dengan segera.

Menerusi perkongsian di laman Instagram, Hishammuddin turut meminta agar individu berkenaan untuk membuat aduan terus kepadanya sekiranya benar perkara itu berlaku.

“Mohon individu disebalik mesej ini untuk ‘DM’ butiran lebih terperinci terus kepada saya atau hubungi pejabat saya segera.

“Jangan risau, identiti anda akan dirahsiakan.

“Timbalan Menteri juga telah diarah untuk teliti perkara ini secara peribadi.

“Jika sahih, tindakan tegas akan diambil, “ katanya menerusi kiriman Instagram Story pada Khamis.

Menurut hantaran mesej individu berkenaan, dia mendakwa adiknya telah dipukul selain turut berlaku pemerasan wang sehingga kehabisan wang simpanan.

Selain itu, individu tersebut turut menyatakan bahawa aduan telah dibuat pihak adiknya namun hanya tindakan denda yang dikenakan.

Perkongsian mesej berkenaan juga memaklumkan pihak keluarga takut untuk membuat aduan berikutan bimbang peristiwa sama yang berlaku terhadap Allahyarham Zulfarhan Osman akan berulang.