Budak viral tunggang motor ala MotoGP kena tiga saman

BUDAK kena saman, waris pun kena saman. Kanak-kanak berusia bawah 10 tahun yang viral di laman sosial kerana menunggang motosikal di simpang tiga Kampung Paya Chegar, Jitra, Kedah telah disaman sebanyak tiga kali setelah dibawa oleh warisnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pukul 2.40 petang semalam.

Selain kanak-kanak itu yang disaman kerana menunggang di bawah umur, cukai jalan telah tamat tempoh dan tidak dilindungi perlindungan insurans serta tidak memakai topi keledar, warisnya juga diambil tindakan di bawah Seksyen 39 (5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu sebuah kenderaan bermotor.

TINDAKAN kanak-kanak terbabit menunggang motosikal yang viral di media sosial sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superitendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, siasatan lanjut yang dilakukan oleh pihaknya mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 6 petang kelmarin.

Menurutnya, video berdurasi 19 saat itu yang telah viral di Facebook dan WhatsApp memaparkan seorang kanak-kanak lelaki bawah umur telah menunggang motosikal jenis Honda Ex-5 berwarna hitam namun nombor pendaftarannya tidak jelas.

“Di dalam video tersebut kelihatan seorang kanak-kanak berada di satu simpang tiga jalan dan telah menunggang motosikal keluar dari simpang sehingga tamat video tersebut.

“Kanak-kanak itu telah dibawa ke IPD Kubang Pasu oleh waris dan telah diambil tindakan lanjut di bawah kesalahan lalu lintas iaitu menunggang di bawah umur, cukai jalan telah tamat tempoh dan tidak dilindungi perlindungan insurans serta tidak memakai topi keledar,” katanya kepada Sinar Harian.

KANAK-KANAK terbabit dan warisnya yang disaman selepas hadir di IPD Kubang Pasu semalam.

Mohd Ismail berkata, waris kepada kanak-kanak tersebut juga turut diambil tindakan di bawah Seksyen 39 (5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu sebuah kenderaan bermotor.

“Polis berharap ibu-bapa agar sentiasa memberikan perhatian kepada anak masing-masing terutama dalam aspek keselamatan lalu-lintas di jalan raya. Hal ini perlu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian