Budak 8 tahun retak paha kiri selepas terjatuh dari jejambat setinggi 15 meter

SEORANG kanak-kanak perempuan retak paha kiri selepas terjatuh dari jejambat di Lebuh Raya Duta – Ulu Kelang (DUKE ) menghala ke Jalan Tun Razak di ibu negara pada Sabtu lalu, lapor Kosmo!

Dalam kejadian pukul 5.40 petang, mangsa berusia lapan tahun itu dikatakan tercampak keluar daripada kenderaan dinaikinya yang terlibat dalam kemalangan sebelum terjatuh dari jejambat setinggi 15 meter.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, hasil siasatan mendapati kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun itu terbabas sendiri sebelum melanggar tembok kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu seorang kanak-kanak perempuan yang berada di bahagian penumpang belakang tercampak keluar dari cermin sisi belakang bahagian kanan sebelum terjatuh dari jejambat tersebut.

“Mangsa terjatuh di atas kereta di tempat letak kenderaan sebuah pusat pameran kenderaan di Jalan Pahang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurutnya lagi, susulan kejadian itu, mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa dilaporkan retak paha kiri dan masih menerima rawatan di hospital berkenaan manakala pemandu tidak mengalami kecederaan.

Terdahulu viral satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 30 saat menunjukkan seorang kanak-kanak terjatuh dari jejambat di Jalan Pahang.

Sumber: Kosmo!