Belasah rakan sekolah: 13 pelajar tingkatan 4 ditahan

POLIS mengesahkan telah menahan 13 pelajar tingkatan 4 sebuah sekolah menengah di Langkawi petang Khamis.

Tangkapan dibuat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Langkawi susulan kes yang tular di mana seorang pelajar lelaki dipukul oleh sekumpulan pelajar lelaki di sebuah sekolah.

Mangsa baru berpindah ke Langkawi lebih kurang sebulan yang lalu.

Kesemua yang ditangkap, disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun dipercayai dipukul beberapa pelajar lain yang tular menerusi satu rakaman video hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari kejadian yang dipaparkan dalam video berdurasi 25 saat itu disahkan berlaku di sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK) di Langkawi.

“Laporan polis telah dibuat oleh mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pagi tadi. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 9 pagi semalam dalam sebuah kelas di sekolah tersebut.

“Punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dan pelajar-pelajar yang lain. Mangsa telah dirujuk ke hospital sebaik menerima laporan polis dan hasil pemeriksaan doktor mendapati tiada kecederaan fizikal pada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular mengenai klip video memaparkan seorang pelajar dipukul oleh beberapa orang pelajar lain disahkan berlaku di salah sebuah sekolah di Langkawi.