Macam dalam filem! Bekas pengurus mengamuk rempuh kilang, baling petrol sebelum maut dilanggar treler

INI bukan babak di dalam filem aksi, sebaliknya ia benar-benar terjadi. Berang akibat digantung kerja, seorang bekas pengurus bertindak merempuh masuk kawasan kilang dengan memandu kereta jenis Honda Civic di Kawasan Perindustrian Chemor, Ipoh, Perak petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.42 petang itu, lelaki berusia 52 tahun itu turut melakukan khianat dengan terus memandu merempuh pejabat kilang hingga menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah RM1 juta.

Selepas melakukan tindakan khianat itu, suspek akhirnya terlibat dalam kemalangan maut apabila dilaporkan dilanggar sebuah treler.

Rakaman video luahan hati suspek yang dikatakan tidak berpuas hati gara-gara digantung kerja juga kini viral di media sosial.

Rakaman video luahan hati suspek yang dikatakan tidak berpuas hati gara-gara digantung kerja kini viral di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketika kejadian, suspek memandu kereta tersebut dengan terus merempuh ke dalam bahagian fasa 1 kilang yang terletak kira-kira 500 meter dari pintu utama.

“Selepas kereta berhenti, suspek telah membaling botol petrol ke dalam pejabat sumber manusia sebelum dia kembali memandu dengan merempuh bilik ‘Production Labelling Department’ sehingga menyebabkan kebakaran.

“Bagaimanapun, kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh pengawal keselamatan dan kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada pekerja kilang lain,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Suspek yang memandu kereta jenis Honda Civic bertindak merempuh kawasan kilang hingga menyebabkan kerugian RM1juta. Gambar kecil: A Asmadi – Gambar kredit: Sinar Harian

A Asmadi berkata, suspek tidak membawa sebarang senjata dalam kejadian itu.

“Selepas melakukan perbuatan khianat tersebut, suspek telah beredar meninggalkan kawasan kilang melalui pintu utama dengan berjalan kaki menghala ke arah kiri kilang.

“Pasukan bomba tiba bagi memastikan kebakaran dipadamkan sepenuhnya. Anggaran kerugian yang dialami oleh pihak kilang adalah lebih kurang RM1 juta,” katanya.

A Asmadi berkata, polis kemudiannya menerima laporan kemalangan maut melibatkan suspek pada pukul 7.45 malam di Jalan Kuala Kangsar di depan kawasan Perindustrian IGB Tasek.

“Suspek disyaki dilanggar sebuah treler ketika dalam perjalanan melarikan diri dari tempat kejadian. Saksi awam menyatakan suspek seolah-olah sengaja melintas jalan ketika kejadian.

“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan dan punca kejadian dipercayai suspek tidak puas hati atas penggantungan kerja atas alasan masalah disiplin, September lalu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian