Anjur parti hari jadi untuk kucing – “Happy birthday to meoww meoww”

SEEKOR kucing yang diberi nama Emma menjadi viral di media sosial apabila pemiliknya menganjurkan satu parti sambutan hari lahir pada 12 Disember lalu, lapor Kosmo!

Memetik laporan asal portal berita Tribun News, kucing dengan baka yang tidak didedahkan itu diraikan pada majlis ulang tahun kelahiran kelima pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, klip video itu dimuat naik oleh Rini Puspita Sari berumur 20 tahun dari Makassar, Sulawesi Selatan ke akaun perkongsian video TikTok sehari selepas itu.

Rini ialah rakan kepada pemilik Emma iaitu Nuni. Majlis luar biasa itu turut dihadiri beberapa tetamu jemputan dipercayai kenalan rapat Nuni.

Berdasarkan rakaman, satu kek memaparkan ucapan hari jadi khas untuk Emma dan sekumpulan tetamu yang hadir bersama-sama menyanyikan lagu hari jadi untuk kucing berkenaan.

Video oleh Rini sudah ditonton lebih 1.1 juta kali selepas ia viral di TikTok. Rini mendakwa Nuni sebenarnya mula menjaga Emma sejak setahun lalu.

“Saya dan rakan lain dijemput oleh Nuni untuk mengadakan satu sambutan hari lahir kucingnya, Emma.

“Kami tolong belikan kek dan membuat rakaman video untuk dikongsi di TikTok,” katanya ketika dihubungi Tribun News.

Menurut Rini, pada mulanya mereka menyangka Nuni cuma bergurau ketika menghantar pesanan menerusi WhatsApp untuk rancangan menyambut hari jadi Emma.

“Nuni sememangnya serius kerana saya tahu dia amat menyayangi Emma, jadi kami semua tunaikan kemahuannya.

“Agak lucu melihat kucing mengadakan sambutan hari lahir yang belum dibuat orang,” katanya.

Sumber: Kosmo!