PEJAM celik pejam celik sudah pun masuk pertengahan bulan ramadan dan sudah pasti ramai di antara kita yang sedang rancak membuat persiapan dengan membeli kuih-muih dan pakaian baru buat keluarga.
Dalam masa sama, ketika leka membeli belah sudah pasti ibu bap pening nak melayan ragam anak-anak yang masih kecil apabila dibawa ke tempat yang dipenuhi ramai orang.
Baru-baru ini, seorang pengguna Tiktok dikenali sebagai Nabilla Zailany berkongsi tentang karenah anak perempuannya, Arisya Rania. Menurutnya, si kecil itu merupakan seorang yang lincah dan aktif sehingga kelibatnya sering menghilang daripada pandangan sewaktu mereka sekeluarga berjalan di dalam sebuah pusat membeli belah.
Sewaktu sedang mencari anaknya yang sudah hilang entah ke mana, barulah Nabilla perasan bahawa anaknya sedang asyik bermain di satu tempat. Ternyata, si kecil itu sedang berlakon dan menyamar sebagai patung di sebuah kedai baju berhampiran.
Dalam masa yang sama, Arisya sempat membetulkan baju yang disarung pada patung berkenaan.
Video tersebut telah mendapat lebih 41 ribu tontonan dan diruangan komen orang ramai terhibur dengan gelagat anak kecil tersebut.
Hai la adik, kesian ibu ingat awak hilang tau!