Warga emas maut ditetak dalam insiden samun



SEORANG lelaki warga emas maut di kediamannya selepas terlibat insiden samun bersenjata selepas ditetak manakala isterinya turut dilaporkan cedera di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya, awal pagi tadi.
Mangsa maut, Wan Hassan Wan Embong, 71 tahun maut di tempat kejadian berikutan kecederaan di muka dan leher.

Ketua Polis Daerah Briekfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, insiden tersebut berlaku pada jam 3.10 pagi.

“Siasatan mendapati mangsa diserang menggunakan senjata tajam berdasarkan beberapa kesan kecederaan di anggota badan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Keadaan di hadapan rumah mangsa.

Menurut isteri mangsa, kedengaran bunyi bising di ruangan dapur sebelum menyedari kedatangan dua lelaki bersenjatakan parang selain turut meminta wang.

Isteri mangsa, Sarifah Yusof cedera di bahagian tangan kanan akibat ditetak.

Mayat mangsa telah dibawa ke PPUM untuk proses bedah siasat.

Mangsa, Wan Hassan merupakan bekas pengarah bahagian teknologi maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.