Video raya unsur judi, polis buru agen pembikinan video

POLIS sedang memburu dalang kepada agen yang terlibat dalam pembikinan video klip berunsurkan perjudian melibatkan dua video klip yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata , suspek berusia 35 tahun itu diburu polis berikutan tindakannya dalam mempromosikan perjudian atas talian.

“Terbaharu, kita telah menahan seorang suspek yang kita percaya boleh membantu siasatan dalam kes tersebut (video pertama).

“Kita ada maklumat seorang lelaki bernama Loh Kee Hoe berumur 35 tahun, kita percaya boleh membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di IPD Dang Wangi hari ini.

Menurutnya, polis telah menahan seramai lapan individu sebelum ini dan dua daripadanya akan direman bermula esok sehingga 21 April depan.

Dua individu itu tambah Mohamad Zainal adalah penerbit dan jurukamera yang dipercayai terlibat dalam pembikinan video pertama judi raya yang tular sejak semalam.

Difahamkan mereka yang ditahan merupakan pelakon dalam video klip berkenaan dan berjanji untuk memberikan kerjasama sekiranya diperlukan.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) dan Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.