UMNO gesa PM, Takiyuddin undur secara terhormat

UMNO sekali lagi menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan dengan kadar segera.

Ini termasuk Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Parlimen Dan Undang-Undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, perkara itu mesti dilaksanakan selaras dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 7 Julai lalu.

“Keputusan ini bagi memenuhi sumpah jawatan selaku Ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong dan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa.

“Pendirian ini juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan UMNO untuk sentiasa memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Ahmad Zahid lagi, UMNO tidak terkecuali daripada kekecewaan berhubung tindakan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan di Parlimen seiring dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutan.

Ini selepas kenyataan yang dikeluarkan sendiri Istana Negara hari ini bagi memperjelaskan situasi sebenar.

Katanya lagi, tindakan itu jelas bukan sahaja penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong, bahkan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan.