‘Total lockdown’ bersambung lagi 2 minggu

FOTO: Bernama

’TOTAL lockdown’ atau penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0)di seluruh negara yang bermula 1 Jun lalu, disambung lagi selama 14 hari bermula 15 sehingga 28 Jun.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub menjelaskan perkara itu diputuskan dalam Sidang Khas MKN Mengenai Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada petang Jumaat.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam ialah 6,871.

“Senarai positif/negatif dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti mana diumumkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan harian PKP.

Jelas Ismail Sabri, beliau berharap tiada lagi kekeliruan dalam pelaksaan penguatkuasan SOP memandangkan semua senarai positif/negatif adalah sama seperti sebelum ini.

“Saya tidak mahu rakyat terkesan dengan salah tafsiran berhubung SOP di lapangan oleh penguat kuasa,” katanya lagi.

Pada 29 Mei lalu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

Sumber: Astro AWANI