SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor mengambil keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan, semalam.
Memetik laporan Astro AWANI, sumber SPRM memaklumkan, siasatan itu dibuat susulan kenyataan bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner berkait kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Ia adalah berkaitan pemberian sebuah rumah di London bernilai AS$10 juta kepada Rohana.
“Siasatan dibuat berdasarkan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001,” memetik sumber SPRM tersebut.
Sementara itu melalui laporan Berita Harian, Siasatan terhadap Rohana dikatakan berjalan selama lebih lapan jam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan siasatan yang dijalankan terhadap Rohana.
Terdahulu, perbicaraan kes 1MDB di Amerika Syarikat bertukar sensasi selepas Leissner memberi keterangan yang dia mempunyai hubungan dengan Rohana.
Leissner yang berkata dia merupakan bekas kekasih Rohana turut memetik beberapa nama lain.
Memetik laporan Bloomberg, ketika ditanya oleh pendakwa, Drew Rolle mengenai hubungan berkenaan, Leissner berkata, hubungannya dengan Rohana berlanjutan sejak 2003 hingga 2013.
Hubungan mereka kemudiannya berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee.
Leissner turut ditanya sama ada dia pernah memberikan sejumlah wang diterimanya ketika bekerja dengan 1MDB dan mengakui berbuat demikian, malah membelikan kekasihnya rumah pada 2013 selepas Rohana mengancam mendedahkan pembabitannya dalam 1MDB.
Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang.
Sumber: Astro AWANI, Berita Harian