Home Terkini Tawar khidmat sugar mummy, ‘anak ikan’ yang tidak wujud, dua Awang Hitam...

Tawar khidmat sugar mummy, ‘anak ikan’ yang tidak wujud, dua Awang Hitam dicekup

HELAH dua lelaki warga Nigeria yang menawarkan khidmat ‘Sugar Mummy, ‘Sugar Daddy’ dan ‘Sugar Baby’ tidak wujud terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan di Jenjarom, Selangor pada 5 Januari lalu, lapor Harian Metro.

Kegiatan itu terbongkar selepas polis menerima laporan penyalahgunaan gambar dalam satu akaun Instagram yang mempromosikan aktiviti berkenaan pada 10 Julai lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, siasatan susulan laporan itu membawa kepada penahanan dua lelaki warga Nigeria masing-masing berusia 25 dan 31 tahun di sebuah premis di Jenjarom, Selangor.

“Dalam serbuan itu, kami merampas tujuh telefon bimbit, tiga komputer riba, satu modem, satu router, 12 kad sim, dua kad ATM serta wang tunai berjumlah RM138.

“Semakan melalui dua kad ATM ditemui mendapati terdapat sembilan laporan polis berkaitan kad berkenaan membabitkan kes penipuan telekomunikasi, e-belian dan ‘love scam’ dengan kerugian berjumlah RM768,145,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, dua suspek berkenaan dipercayai mewujudkan akaun Instagram yang menawarkan perkhidmatan seks serta pengiring sosial namun khidmat berkenaan tidak wujud.

“Sindiket berkenaan menggunakan akaun itu sebagai medium bagi menipu laman sesawang berpacaran untuk menawarkan iklan perkhidmatan ‘Sugar Mummy’ atau ‘Daddy’ selain menawarkan ‘pekerjaan’ sebagai ‘Sugar Baby’ atau anak ikan.

“Malah, sindiket ini mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM8,000 semalam untuk ahli yang berdaftar bagi mendapatkan perkhidmatan seks daripada ‘Sugar Baby’ atau anak ikan.

“Bagi ‘Sugar Baby’ yang mahu ‘bekerja’, mereka perlu membuat pembayaran pendaftaran sebagai ahli dengan bayaran serendah RM400,” katanya.

Beliau berkata, sindiket berkenaan juga mendakwa perkhidmatan ditawarkan itu turut berdaftar di Singapura dan Dubai selain Malaysia.

“Suspek juga akan menggunakan pelbagai akaun bank daripada keldai akaun untuk menerima pembayaran daripada mangsa yang mahu mendaftar.

“Kedua-dua suspek yang mengaku sebagai penuntut di sebuah kolej swasta di ibu negara itu direman selama empat hari bermula 5 hingga 9 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya.

Beliau meminta mangsa penipuan sindiket ini tampil bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sumber: Harian Metro