Tajuddin kena kompaun RM1,500 tak pakai pelitup muka

BEKAS Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam satu sidang media pada 25 Mei lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, kertas siasatan berhubung pelanggaran sop oleh Bekas Pengerusi Prasarana itu telah dikembalikan dari Pejabat Jabatan Peguam Negara semalam.

“Kertas siasatan telah dikembalikan dengan keputusan Datuk Seri Tajuddin Bin Abdul Rahman dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021.

“Apabila gagal memakai pelitup muka semasa mengadakan sidang media berkaitan insiden kemalangan membabitkan tren di Stesen LRT KLCC, Kuala Lumpur (25 Mei),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun tambah Mohamad Zainal, tawaran kompaun akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Justeru, orang ramai diingatkan agar sentiasa mematuhi sop yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memerangi wabak COVID-19.

25 Mei lalu, dalam satu sidang media Prasarana Malaysia Berhad berhubung insiden pertembungan dua tren di Stesen KLCC, Tajuddin yang menyandang jawatan Pengerusi Eksekutif Prasarana ketika itu didapati tidak memakai pelitup muka.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Pasir Salak itu dilihat hanya mengenakan pelindung muka sepanjang sidang media itu diadakan.