TERGAMAK membunuh bekas rakan baik sendiri (Ex-BFF) selepas berang diperli dan diejek mengenai status ekonomi keluarga dan paras rupa.
Begitulah terungkainya misteri teka-teki kes bunuh Siti Nur Surya Ismail, 19, yang berjaya diselesaikan hasil kecekapan polis dalam tempoh 17 jam sebaik menahan bekas kawan baik mangsa yang juga suspek utama kes berkenaan.
Hasil soal siasat polis mendapati, suspek, 19, yang juga bekas rakan sekolah Siti Nur Surya mengaku melakukan perbuatan kejam itu hanya kerana berang diperli mangsa.
Suspek ditahan polis selepas dia tampil memberi keterangan di Balai Polis Telemong, Hulu Terengganu semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, ketika disoal siasat, suspek pada mulanya mendakwa telah menemui mayat Siti Nur Surya tertiarap di ruang tamu ketika pergi ke rumah mangsa pada pukul 9.30 pagi kelmarin.
Bagaimanapun, katanya, polis mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila terdapat kesan lebam dan gigitan pada beberapa bahagian badannya sebelum dia akhirnya mengaku telah membunuh mangsa.
“Dia menceritakan, pada mulanya dia hanya pergi ke rumah mangsa sekadar untuk bersembang kosong dan ketika sedang berbual itu, suspek mendakwa Siti Nur Surya telah merendah-rendahkan dirinya terutama tentang status ekonomi keluarga dan rupa parasnya.
“Suspek yang panas hati kemudian telah menyerang mangsa yang kebetulan sedang memegang sebilah pisau untuk menetas lebihan benang pada seluarnya,” katanya kepada Kosmo!

Semalam, mayat Siti Nur Surya ditemui berhampiran katil ibunya, Zaini Musa, 55, yang terlantar akibat sakit barah otak di Kampung Lubuk Batu, Telemong di sini.
Roslee berkata, suspek dan mangsa kemudian telah bergelut hingga menyebabkan Siti Nur Surya cedera ditetak pada bahagian muka, leher dan dada menggunakan senjata tajam.
Tambahnya, suspek yang panik apabila mendapati mangsa tidak lagi bergerak selepas ditetak nekad memotong pergelangan tangan kiri mangsa hingga putus.
“Suspek juga telah mengambil wang dan telefon bimbit milik mangsa bagi mencipta plot kononnya insiden itu bermotifkan samun sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal,” kata Roslee.

Ujar Roslee, keterangan suspek konsisten dengan bukti televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebuah rumah burung walit berhampiran rumah mangsa.
“CCTV itu merakam kelibat suspek dan motosikalnya berada di rumah tersebut sewaktu kejadian,” katanya.
Suspek yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang, Terengganu pagi tadi kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, hasil keputusan ujian air kencing suspek didapati negatif dadah.
Semakan polis juga katanya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan pihaknya akan memanggil beberapa saksi dalam masa terdekat untuk membantu melengkapkan siasatan termasuk ahli keluarga suspek.
Sumber: Kosmo!