Siasat segera isu gangguan seksual di SJR – Rina Harun

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat menggesa pihak Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu gangguan seksual melibatkan anggotanya di sekatan jalan raya (SJR) baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, siasatan itu bagi memastikan mangsa diberi pembelaan selain mengenakan tindakan terhadap pelaku sekiranya didapati bersalah.

“Perbuatan terkutuk ini sama sekali tidak boleh dipandang entengm apatah lagi jika ia melibatkan anggota penguatkuasa.

“Saya berharap semua pihak menghormati dan tidak mempersoalkan kredibiliti keseluruhan institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Rina Harun memaklumkan, KPWKM akan terus dengan komitmen untuk meneruskan penggubalan draf perundangan melibatkan isu gangguan seksual yang akan dibentangkan di Parlimen.

“Perundangan khusus ini amat penting dan akan melengkapi undang-undang sedia ada agar isu ini dapat diatasi dengan lebih berkesan tanpa mengira sama ada lelaki atau wanita,” katanya lagi.

Mengenai insiden yang berlaku di sekatan jalan raya baru-baru ini, pihaknya menggesa golongan wanita khususnya agar tampil membuat laporan sekiranya berhadapan dengan sebarang bentuk gangguan seksual.


Malah perkara itu merangkumi pelbagai bentuk sama ada secara lisan, perbuatan atau melalui pelbagai isyarat oleh pelaku.

Baru-baru ini, media melaporkan Seorang wanita berusia 23 tahun mendakwa dirinya mengalami gangguan seksual ketika melalui sekatan di Jalan Duta, menghala keluar dari Kuala Lumpur pada 7.30 malam, Jumaat lalu.

Manakala seorang lagi wanita mendakwa seorang anggota polis ingin berkenalan dengannya selepas anggota itu meminta nombor telefon bimbitnya juga ketika melalui sekatan.