Selepas lima bulan menderita berat naik mendadak, gadis 200 KG meninggal dunia

Selepas lima bulan menderita akibat berat badan naik mendadak sehingga mencecah 200 kilogram (kg) akhirnya Nur Izzati Afiqah Hussein, 29, menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 10.50 malam tadi.

Menerusi laporan Sinar Harian,Nur Izzati yang sebelum ini mendapat perhatian netizen yang turut bersimpati dengan penyakit misteri yang dialaminya itu dikatakan mengalami pendarahan luar biasa sebelum meninggal dunia.

Ibu saudaranya, Zainab Hassan, 57, menjelaskan pada mulanya mereka beranggapan Nur Izzati mengalami haid.

“Mulanya, kami ingatkan dia datang haid tetapi berlaku dalam keadaan yang begitu banyak.

“Darah tersebut keluar pada jam 2 petang dalam keadaan berketul,” katanya yang turut menyifatkan arwah sebagai seorang yang sangat baik.

Sementara itu jenazah arwah akan disemadikan jam 11 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung dengan bantuan Bomba dan Penyelamat Balai Pasir Mas bagi membantu urusan pengebumian kerana keadaan fizikal arwah.