Sah! Ismail Sabri PM ke-9, angkat sumpah esok di Istana Negara

PERSOALAN mengenai siapakah Perdana Menteri ke-9 akhirnya terjawab apabila Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob difahamkan mempunyai 114 sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Istana Negara menerusi satu kenyataan hari ini menyatakan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenan untuk melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-9.

“Proses seterusnya ialah Istiadat Pengurnian Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada 21 Ogos jam 2.30 petang di Istana Negara.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri ini, maka kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi wabak COVID-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akbit krisis dan ancaman pandemik ini,” menurut kenyataan tersebut.

Semalam, Baginda turut berkenan menerima mengadap 114 Ahli Dewan Rakyat untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Dalam masa yang sama, Al Sultan Abdullah turut menitahkan, dengan terlantiknya Perdana Menteri yang baharu maka kemelut politik yang melanda negara perlu diakhiri dengan kadar segera.

Baginda sekali lagi menegaskan bahawa situasi pandemik yang melanda negara ketika ini, rakyat tidak wajar untuk dibebani dengan isu politik yang tiada kesudahan.

Terdahulu, Raja-Raja Melayu berangkat tiba memasuki Istana Negara kira-kira jam 2.40 petang tadi bagi menghadiri pertemuan khas bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat.

Pertemuan khas itu yang difahamkan bermula pada jam 2.30 petang itu diadakan bagi membincangkan isu bakal calon Perdana Menteri dan kerajaan.