Polis terima 6 laporan terhadap ‘Kak Long 7E’

POLIS menerima enam laporan terhadap pemilik akaun Facebook Wan Nor Baizura atau lebih popular dengan gelaran ‘Kak Long 7E’ di seluruh negara, setakat ini.

Ia susulan tindakannya yang didakwa menghina dan memperlekehkan nasib Orang Kurang Upaya (OKU) dengan memuat naik video yang meniru mimik muka golongan tersebut menerusi laman sosialnya, lapor Bernama

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata dua daripada laporan itu diterima di Selangor manakala satu laporan masing-masing di Terengganu, Perak, Kuala Lumpur dan Johor.

Beliau berkata pihaknya telah menyerahkan kes tersebut kepada polis Selangor memandangkan kertas siasatan telah dibuka di negeri itu.

“Walaupun di Terengganu juga ada terima laporan berkaitan kes ini, kita tidak mahu ada pertindihan siasatan.

“Jadi, kita telah serahkan kes ini kepada polis Selangor dan akan beri kerjasama sekiranya diperlukan,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Perjumpaan Ketua Polis Dengan Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita (JPPPW) Terengganu di sini hari ini.

Memetik laporan Astro AWANI, Rohaimi turut menyampaikan sumbangan kepada 10 anggota dan pegawai polis wanita yang menghidap penyakit kronik pada perjumpaan itu,

Dalam pada itu, beliau berkata sembilan kes tatatertib melibatkan anggota dan pegawai polis wanita negeri ini direkodkan tahun lepas.

“Satu daripadanya melibatkan kes narkotik manakala lapan lagi adalah kesalahan tingkah laku,” katanya.

Sumber: Astro AWANI