“Polis tak tendang kami”

MEMANG sah! Penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sri Tanjung, George Town, Pulau Pinang Ahad lalu mengaku tiada berlaku sebarang kekasaran atau ditendang anggota unit rondaan bermotosikal (URB) semasa kejadian tersebut, lapor Kosmo!

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis telah merekodkan keterangan daripada penunggang motosikal tersebut semalam.

“Lelaki berusia 21 tahun yang juga seorang pekerja hotel mengakui tiada berlaku tendangan daripada anggota polis semasa kejadian berlaku.

“Bagaimanapun rakannya yang juga pembonceng berusia 19 tahun masih menerima rawatan di Zon Merah, Wad Kecemasan Hospital Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut hari ini.

Menurut Soffian, pihaknya tidak teragak-agak untuk menahan individu lain yang cuba menimbulkan provokasi dalam isu berkenanan berdasarkan hasil soal siasat dan rakaman video yang diperoleh.

Terdahulu, tujuh lelaki direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung insiden sekumpulan lelaki disyaki mengepung dan menghalang tugas polis dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong kelmarin.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret George Town, Nur Fadrina Zulkhairi pagi ini.

Sumber: Kosmo!

Most Popular