Polis kenal pasti individu lari dari kawasan PKPD

POLIS telah mengenal pasti dua individu yang tular di media sosial berikutan melarikan diri dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Pantai Dalam pada Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo berkata, pihaknya yakin dua individu berkenaan dapat dikesan secepat mungkin berdasarkan identiti yang telah diperoleh.

“Kita masih lagi mengesan dua individu tersebut namun butiran mereka telah dikenal pasti dan usaha masih giat dijalankan.

“Kita akan kerah semua anggota termasuk platform media dan kita percaya mereka dapat ditangkap dalam masa terdekat,” katanya hari ini.

Menurutnya lagi, beberapa langkah-langkah kawalan telah diperkenal melibatkan kawasan yang berada di bawah arahan PKPD.

Perkara itu turut mendapat kerjasama daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meastikan tiada lagi insiden sama berulang.

Pada Ahad lalu, video berdurasi 2 minit 34 saat itu tular di media sosial menyaksikan individu berkenaan meloloskan diri melepasi halangan kawat duri sebelum melarikan diri ke kawasan sungai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 22(B) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.