Persekitaran Tempat Kerja, Tekanan Punca Polis Bunuh Diri

KAJIAN oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati tekanan, status kesihatan dan persekitaran tempat kerja merupakan tiga faktor utama menyumbang kepada kecenderungan untuk anggota dan pegawainya membunuh diri.


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata faktor tekanan berpunca daripada kekecewaan dalam perhubungan, masalah penyesuaian di penempatan baharu, gagal mengawal daya tindak diri, kesunyian akibat berjauhan dengan keluarga dan masalah perkahwinan.


“Secara jujur dan terus terang, kita mengakui kebelakangan ini ada semacam kecenderungan dalam kalangan petugas warga polis yang ke arah bertindak membunuh diri. Kecenderungan itu dikesan seawal 2015.

“Sebab itu langkah segera telah diambil oleh pasukan polis walaupun kes itu angkanya kecil serta rendah dan boleh dianggap terpencil berbanding dengan 130,000 kekuatan anggota, namun setiap nyawa adalah berharga,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


Menurut Bernama, beliau menjawab soalan Wan Hassan Mod Ramli (PN-Dungun) mengenai langkah memastikan kesihatan mental dalam kalangan anggota polis, terutama yang memegang senjata api bagi memastikan anggota dapat menjalankan tugas dengan mental stabil.

Sumber gambar – mStar | Sumber laporan – Bernama