Padah muat naik gambar langgar SOP, tiga jururawat kena kompaun RM4,000

KETUA Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tiga jururawat yang bertugas di sebuah hospital swasta berusia antara 34 hingga 45 tahun itu dikesan melanggar SOP apabila menyerahkan sumbangan kepada rakan mereka yang dikenakan pemakaian gelang merah jambu.

Menurutnya, ketiga-tiga mereka telah berkunjung ke rumah salah seorang rakan yang juga seorang jururawat yang dikenakan perintah kuarantin sebelum memuat naik ke akaun Facebook sehingga menjadi tular, lapor Sinar Harian.

“Tindakan itu dikesan melalui satu hantaran di akaun Facebook pada jam lebih kurang 9.10 malam pada Ahad di mana ketiga-tiga jururawat yang bertugas di sebuah hospital swasta di sini telah ke rumah rakan mereka yang dikenakan perintah kuarantin.

“Mereka telah hadir ke balai polis dan soal siasat ke atas kesemuanya mengaku melakukan kunjungan ke Kampung Pulau Tengah untuk memberikan sumbangan kepada rakan yang sedang menjalani tempoh kuarantin di rumah akibat kontak rapat pesakit positif Covid-19,” katanya melalui satu kenyataan pada Isnin.

Adzli berkata, hasil pemerhatian berpandukan gambar yang tular di Facebook mendapati ketiga-tiga jururawat itu gagal mematuhi SOP PKP.

Kesemua jururawat itu diterangkan kesalahan yang dilakukan dan dikeluarkan kompaun sebanyak RM4,000 seorang.

Kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021 (Aktiviti terlarang Nombor 1).

Kesemua mereka telah diberikan penerangan agar menjelaskan kompaun dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan di Pusat Kesihatan Daerah.

Adzli turut menasihati orang ramai untuk sentiasa mematuhi SOP dalam melaksanakan apa juga tindakan.

“Apa jua aktiviti yang hendak dijalankan, sama ada dibenarkan atau pun tidak, mahupun untuk kebaikan, mestilah mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Jika ingkar, kita akan ambil tindakan tanpa memilih kasih,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian