Order pelacur pakai WhatsApp musim PKPB

JANGAN tak percaya, bukan makanan je yang boleh order pakai WhatsApp sekarang ni. Rupa-rupanya, pelacur juga kini boleh dipesan menerusi aplikasi WhatsApp terutamanya ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Itu merupakan modus operandi yang dijalankan sebuah premis di Bandar Puteri, Puchong semalam yang menjalankan aktiviti pelacuran melibatkan wanita warga asing apabila menawarkan khidmat seks menerusi platform WhatsApp khususnya kepada pelanggan tertentu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, kegiatan tersebut berjaya dibongkar hasil laporan orang awam yang meragui kegiatan premis berkenaan.

“Serbuan Op Noda jam 8 malam tadi menahan lelaki berusia 34 dan 50 tahun yang membawa kepada pembongkaran kegiatan maksiat tersebut.

“Kesemua wanita yang terlibat berusia 24 hingga 36 tahun terdiri daripada empat warga Thailand, dua dari Indonesia serta dua lagi warga Vietnam,” katanya ketika ditemui semasa serbuan malam tadi.

PIHAK berkuasa sedang menyoal siasat beberapa individu disyaki pelanggan di lokasi serbuan premis menawarkan khidmat seks warga asing menerusi aplikasi WhatsApp di Bandar Puteri, Puchong malam tadi.

Kesemua mereka yang ditahan dikatakan aktif melakukan kegiatan terkutuk itu di premis tiga tingkat berkenaan terutamanya sepanjang musim PKPB.

Menurut Razali, bayaran sejumlah RM200 dikenakan terhadap pelanggan bagi melepaskan nafsu mereka manakala premis yang beroperasi kurang daripada sebulan itu juga dikatakan tidak mempunyai sebarang lesen yang sah.

“Wanita berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah, manakala siasatan terhadap dua penjaga premis warga tempatan mengikut Seksyen 55B akta yang sama kerana menggaji warga asing tanpa permit,” kata Razali.

Hasil serbuan, polis turut merampas beberapa telefon bimbit, kondom, tuala mandi serta beberapa dokumen. – TheNews Malaysia