Luahan hati isteri anggota PGA mati ditembak penyeludup runtun perasaan netizen – “Suami tinggalkan kami sebagai wira negara”

“KEMATIANNYA sangat menyedihkan, tapi saya berbangga kerana suami meninggalkan kami ketika bertugas untuk keamanan dan keselamatan negara, dia seorang wira,” kata isteri mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban selepas terkena tembakan penjenayah di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi tadi.

Relow Ko, 48, berkata beliau, dia dimaklumkan mengenai insiden menimpa suaminya itu pada pukul 4.30 pagi oleh seorang rakan yang datang ke rumahnya di Kompleks Perumahan Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA), Bidor, Perak hari ini.

“Sewaktu kawan sampai, dia senyap bila saya tanya kenapa. Dia tunjuk mesej WhatsApp kepada saya beritahu apa jadi kepada suami.

“Waktu itu saya rasa kosong sebab awal pagi, saya terkejut,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Relow Ko menunjukkan gambar mendiang suaminya, Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban ditembak penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi tadi. – Gambar kredit: Bernama

Baharuddin, 54, terbunuh dalam kejadian pada pukul 3.10 pagi itu, manakala rakannya, Koperal Norihan a/l Tari, 39, parah dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis.

Mendiang yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia antara 18 dan 32 tahun.

Menurut Relow, mendiang suaminya yang bertugas dengan Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA terbabit dalam penugasan kawalan keselamatan Op Benteng di sempadan sejak 1 November lalu dan dijadual berakhir hujung bulan ini.

Beliau berkata, mendiang suaminya yang mula berkhidmat sebagai anggota polis ketika usia 19 tahun merancang untuk bersara empat tahun lagi dan berhasrat balik ke Bahau untuk bersama keluarga.

Bercerita mengenai peribadi suaminya yang berasal dari suku kaum Semelai, Relow berkata, mendiang seorang yang suka bercucuk tanam dan tegas terhadap anak serta keluarga.

Katanya, beliau tidak nampak sebarang perubahan ketara kepada mendiang suaminya sebelum keluar untuk tugasan kali ini, sebaliknya beliau berasakan sentiasa tidak sedap hati, malah sukar untuk tidur malam.

Sementara itu, anak sulung mendiang, Shahrul Epanddy, 32, menyifatkan pemergian ayahnya sebagai wira negara.

“Saya anggap dia bukan mati sia-sia. Dia wira saya. Dia meninggal ketika mempertahankan negara. Sepupu saya yang turut bertugas di operasi sama memaklumkan ayah saya meninggal dalam keadaan tenang dengan raut wajah tersenyum,” katanya.

Berkongsi kenangan bersama ayahnya, Shahrul Epanddy berkata, kali terakhir mereka bertemu pada Ogos lalu di Bahau, namun tiada pelik tanda-tanda seakan mereka tidak akan bertemu lagi buat selamanya.

Mendiang Baharuddin akan disemadi di kampung halamannya esok.

Sumber: Bernama

Most Popular