Home Terkini Lari sekatan dan tumbuk anggota polis, dua wanita direman dua hari

Lari sekatan dan tumbuk anggota polis, dua wanita direman dua hari

FOTO: Bernama

DUA wanita direman selama dua hari bermula hari ini selepas didapati melarikan diri daripada sekatan polis selain turut bertindak agresif menumbuk anggota polis dalam kejadian awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, kejadian yang berlaku di lebuh raya Jalan Persekutuan itu terjadi apabila pemandu wanita enggan berhenti dan memecut kenderaan sewaktu pemeriksaan.

“Pemandu berkenaan enggan bekerjasama dan menimbulkan provokasi dengan menumbuk anggota polis yang bertugas.

“Kenderaan tersebut berjaya ditahan di Jalan Universiti, Petaling Jaya oleh Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, IPD Petaling Jaya,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Mohamad Fakhruddin, hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua wanita berkenaan turut didapati berada di bawah pengaruh alkohol.

Bagaimanapun, tiada sebarang rekod jenayah lampau terhadap kedua-dua wanita berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 kerana tidak memberhentikan kenderaan sewaktu pemeriksaan.

Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menyerang anggota polis dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Exit mobile version