Kren tumbang, dua maut dan dua lagi disahkan parah

LAGI insiden meragut nyawa melibatkan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) apabila dua maut dan dua lagi disahkan cedera parah selepas struktur kren tumbang dan menghempap sebuah kenderaan.

Kejadian berlaku berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Kuala Lumpur.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.45 pagi.

Seramai 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras, BBP Tun Razak dan BBP Hang Tuah digerakkan ke lokasi kejadian.

Bomba mengesahkan struktur besi Kren Launcher pembinaan lebuhraya telah jatuh ke bawah dan menghempap sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

“Antara mangsa terlibat merupakan pemandu kereta Bezza tersebut susulan kenderaannya dihempap besi kren berkenaan dan mengalami kecederaan parah.

“Manakala tiga orang mangsa lagi merupakan pekerja projek pembinaan tersebut.

“Dipercayai dua mangsa telah jatuh setinggi 120 kaki dan telah disahkan meninggal dunia.

“Seorang lagi mangsa masih tersangkut di landasan pembinaan lebuh raya dan kerja-kerja menyelamat mangsa sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika ini operasi menyelamat masih sedang dijalankan.