Home Terkini Ketua Kontinjen Rela Meninggal Dunia Semasa Perbarisan Di Negeri Sembilan

Ketua Kontinjen Rela Meninggal Dunia Semasa Perbarisan Di Negeri Sembilan

SEREMBAN – Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) rebah dan meninggal dunia ketika menyertai perbarisan lintas hormat sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sembilan, di Padang Majlis Bandaraya Seremban, di sini pagi tadi.

Anggota terbabit, Muhammad Noh Muhammad Isa, 53, yang merupakan ketua kontinjen Rela Negeri Sembilan, disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) kira-kira pukul 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, siasatan awal mendapati anggota Rela itu rebah dan tidak sedarkan diri semasa perbarisan pada pukul 10 pagi, sebelum dikejarkan ke hospital.

“Pihak polis telah menerima maklumat berhubung kematian lelaki tersebut pukul 12.25 tengah hari. Pemeriksaan pada tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang dikesan,” katanya, di sini hari ini.

Terdahulu sebuah video berdurasi 32 saat memaparkan seorang anggota Rela telah terjatuh ketika perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Seremban sebelum dibantu beberapa rakannya telah tular di media sosial Facebook dan WhatsApp.

Menurut Arifai, proses bedah siasat telah dijalankan dan pihak hospital mengesahkan kematian mangsa disebabkan masalah jantung ‘Coronary Artery Occlusion’ dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 

Sumber: Kosmo

Exit mobile version