Kes kanak-kanak lemas dalam tong dipercayai didera: Ibu angkat kesal serahkan semula Amir kepada ibu kandung

“SAYA rasa menyesal kerana tidak pertahankan dia, kalau tahu ini pengakhirannya saya tidak akan serahkan kepada ibu kandung itu,” demikian ibu angkat kepada kanak-kanak yang maut selepas ditemui lemas dalam tong dan dipercayai didera dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, Melaka semalam.

Menceritakan kekesalan itu, dia yang berusia 50 tahun dan menetap di Rawang,Selangor berkata kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu baru tiga bulan diserahkan semula kepada ibu kandungnya selepas dia menjaga kanak-kanak itu sejak kecil.

Katanya, dia yang kali terakhir berjumpa kanak-kanak itu yang mesra disapa dengan panggilan ‘Adik’ itu pada awal November lalu, hanya dimaklumkan berhubung kejadian berkenaan oleh jiran berhampiran rumah keluarga kanak-kanak itu lewat petang semalam, sebelum bergegas ke Melaka.

“Selepas ibu kandungnya mengambil semula ‘Adik’ pada Oktober lalu, saya memang terlalu sedih memandangkan saya bela dia dengan penuh kasih sayang sejak dia berusia kira-kira dua bulan lagi.

“Walaupun perit, itu kenyataan yang saya perlu tempuh memandangkan saya cuma ibu angkat dan ibu kandungnya tetap mempunyai hak mutlak untuk mendapatkan hak jagaannya.

“Tetapi saya kesal apabila hampir tiga bulan saya berjaya pujuk hati hilangkan rindu, saya dapat berita yang cukup tidak boleh diterima, lagi pula ibu kandung dan ayah tirinya juga tidak pernah pula tunjukkan sikap panas baran,” katanya ketika ditemui Astro Awani di sini hari ini.

Menceritakan detik pertemuan terakhir bersama kanak-kanak malang itu, Norlida berkata, ayah tirinya yang bekerja sebagai pemandu lori pernah membawa kanak-kanak itu bersama ke Rawang sebelum mereka bertemu secara ringkas di kedai makan.

“Dia seorang yang sangat cerdik, memahami dan tidak pernah merengek-rengek memintakan sesuatu. Malah diusia seawal itu dia sudah berjaya menghafal surah Al-Mulk yang diajar oleh kakak-kakaknya sepanjang tinggal bersama saya,” tambahnya sambil menyeka air mata.

Terdahulu, Pasangan suami isteri yang disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia petang semalam di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya, di sini direman tujuh hari bermula hari ini, lapor Astro Awani.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Mohd Anuar Ostadi terhadap ibu kandung mangsa berusia 32 tahun dan bapa tiri berusia 38 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh kira-kira jam 9.30 pagi dengan menaiki dua kenderaan berasingan.

Semalam Astro Awani melaporkan, pihak polis menerima panggilan daripada bapa tiri mangsa yang anaknya itu lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.

Siasatan pihak polis bagaimanapun mendapati, hasil pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan, sebelum mayat kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Untuk rekod, kisah kanak-kanak itu sebelum ini pernah tular pada Oktober tahun lalu apabila ibu angkat yang menjaganya sejak bayi terpaksa menyerahkan semula kanak-kanak malang itu kepada ibu kandungnya.

Kisah itu dikongsikan menerusi satu klip video di laman Facebook yang menunjukkan ibu angkat dan keluarganya menangis teresak-esak ketika mendakap kanak-kanak lelaki berkenaan sebelum diserahkan kepada ibu kandungnya.

Sumber: awani