Kasi hentam kucing bunting hingga mati, nenek tua direman empat hari – “Dia ni rupanya pembunuh kucing tu…”

SEORANG wanita warga emas berusia 51 tahun direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang berikutan kes bunuh seekor kucing yang masih bunting Selasa lepas.

Hakim, Ahzal Fariz Ahmad Khairrudin membenarkan permohonan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tahanan reman bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Kejadian pada Selasa lalu, suspek telah bertindak memukul dua ekor kucing menggunakan sebatang besi yang dikatakan berang dengan haiwan tersebut yang membuat najis di sekitar rumahnya.

Insiden tersebut disedari seorang saksi sebelum membuat laporan polis dan aduan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk tindakan lanjut.

Hasil siasatan ke atas rumah suspek telah menemui objek besi yang dipercayai digunakan untuk memukul haiwan tersebut.

Bangkai kucing yang telah mati turut dihantar ke makmal JPV untuk proses bedah siasat.

Manakala seekor lagi kucing yang cedera masih menerima rawatan susulan kecederaan parah di bahagian mulut dan menghadapi kesukaran untuk makan. – TheNewsMalaysia