JKNJ nafi mesej tular berkaitan PKPD Taman Sri Pulai Perdana

JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan mesej tular berkaitan pewartaan kawasan Taman Sri Pulai Perdana sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.

Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu berkata, sebaliknya tindakan kawalan dalaman telah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 daerah Johor Bahru ekoran daripada laporan 47 kes positif melibatkan kluster Pulai Perdana Tiga, pada Isnin.

“Ekoran daripada pengesanan kes secara aktif dan siasatan mendapati rumah terbabit berselerak di sekitar taman perumahan itu, tindakan kawalan dalaman pada rumah-rumah dan fasiliti berkaitan telah dilaksanakan bermula pada Isnin.

“Semua kes positif telah diisolasi dan kontak-kontak rapat kes yang dikenalpasti menjalani pengasingan di rumah. Fasiliti umum yang berpotensi untuk menjadi tempat penyebaran seperti masjid dan sekolah di kawasan tersebut juga dikenalpasti dan ditutup buat sementara waktu bagi tujuan siasatan dan pengesanan kes secara berterusan,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Justeru, beliau menyeru kepada masyarakat agar mendapatkan maklumat sahih dari sumber rasmi sahaja selain tidak menularkan sebarang berita tidak sahih agar tidak mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan.

Sumber: Sinar Harian