Jika benar UMNO dibuli, saya tidak akan diperlakukan sebegitu – Faizal Azumu

TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan, UMNO perlu memahami apa yang berlaku terhadapnya di Perak apabila ditolak sebagai Menteri Besar negeri itu pada Disember lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun menjelaskan dakwaan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang menyifatkan UMNO telah dibuli oleh Bersatu sewaktu berada di dalam gabungan Perikatan Nasional.

“Saya ada pengalaman di Perak apabila saya mengetuai kerajaan Perikatan Nasional Bersama UMNO dan PAS namun akhirnya ditolak tentunya Machang (Ahmad Jazlan) perlu memahami apa yang saya lalui.

“Jika saya seorang timbalan presiden sebuah parti yang membuli parti UMNO, perkara yang  berlaku kepada saya itu tidak akan berlaku,” katanya ketika ditemui pada Rabu di Putrajaya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal menegaskan Bersatu akan tetap kepada prinsip asas penubuhan parti untuk memartabatkan agama bangsa dan tanah air.

Mengenai spekulasi UMNO untuk tidak lagi menjalinkan kerjasama bersama Bersatu, beliau menjelaskan UMNO tidak akan berbuat demikian sekiranya masih berpegang kepada prinsip yang sama dengan parti Bersatu.

“UMNO merupakan parti yang tidak lari dengan perjuangan terhadap agama bangsa dan tanah air, saya yakin tentunya akan terus bersama kami (Bersatu) jika masih berpegang kepada asas penubuhan parti mereka,” katanya.

Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang berpendapat, setakat ini rakyat dilihat selesa dengan pentadbiran di bawah kerajaan Perikatan Nasional menerusi pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Machang membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi MPOB berkuat kuasa 6 Januari.

Menurutnya, peletakan jawatan itu bagi menzahirkan prinsip enggan bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sumber: awani