Isetan 1 Utama ditutup, 5 April hari terakhir dengan promosi jualan

PUSAT beli belah Isetan yang telah bertapak sekian lamanya di 1 Utama akhirnya membuat pengumuman untuk menghentikan operasinya.

Penutupan itu sekali gus melibatkan keseluruhan kedai atau premis perniagaan yang terdapat di dalam Isetan.

Makluman penutupan itu dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi Isetan yang mana esok
(5 April) bakal menjadi hari terakhir ia beroperasi.

Sempena penutupan tersebut juga, Isetan bakal melancarkan Final Sale esok bertempat di restoran Eat Paradise yang tersedia dalam Isetan dengan harga yang berbaloi buat para pengunjung.

Pengunjung setia Isetan bagaimanapun tidak perlu bimbang dengan penutupan berkenaan berikutan masih terdapat beberapa cawangan lain yang masih beroperasi di pusat beli belah tertentu selain ia menawarkan pembelian secara atas talian.