Home Terkini “Ini masa sesuai untuk BN buktikan kepada rakyat” – Zahid Hamidi

“Ini masa sesuai untuk BN buktikan kepada rakyat” – Zahid Hamidi

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon agar Ahli Parlimen Barisan Nasional insaf dan sedar akan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, mereka (Ahli Parlimen BN) seharusnya memihak kepada rakyat berbanding sokongan terhadap kerajaan yang dikatakan gagal.

“Nasihat saya insafilah kewajipan dan tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat. Wakil rakyat yang bermaksud wakil kepada rakyat. Bukan wakil kepada mereka yang gagal menjaga rakyat.

“Ingatilah juga kewajipan kita sebagai wakil rakyat dari UMNO iaitu sentiasa memihak kepada rakyat, mengutamakan rakyat dan mementingkan rakyat.
Menurutnya, ini merupakan waktu sesuai untuk membuktikan kepada rakyat bahawa UMNO sedia bersusah payah demi rakyat.

Selain itu, Ahmad Zahid berpendapat Ahli Parlimen BN tidak wajar bersama kerajaan yang menyebabkan kematian lebih 10,000 rakyat Malaysia termasuk angka kes baharu setiap hari.

Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyebabkan negara dianggap gagal membendung wabak dalam peringkat dunia.

“Sebagai Ahli Parlimen UMNO kita sewajarnya lebih terkesan dengan kegagalan itu kerana rakyat yang menderita termasuk ahli-ahli UMNO sendiri.

“Juga pengundi-pengundi UMNO di kawasan kita. Kita tahu begitu ramai rakyat termasuk ahli dan pengundi UMNO tidak mampu bekerja, menjadi miskin dan muflis,” katanya lagi.

Langkah yang tepat katanya pada ketika ini adalah dengan meninggalkan kerajaan PN serta berbalik kepada landasan UMNO.

Exit mobile version