Individu beri bayi minum arak akhirnya ditahan!

POLIS menahan lelaki berusia 19 tahun bagi membantu siasatan berhubung video tular mengenai tindakan memberi minuman keras kepada bayi di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek ditahan di sekitar Teluk Bahang, pada jam 1.30 petang.

Katanya, siasatan mendapati lelaki berkenaan mempunyai 14 rekod jenayah lampau.

“Dia juga adalah orang dalam pengawasan polis (OPP) di kawasan berkenaan.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau esok bagi permohonan reman untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Jelas Kamarul Rizal, mangsa berusia sembilan bulan kini berada dalam keadaan sihat namun dibawa ke hospital bagi pemeriksaan lanjut.

“Kejadian itu didapati berlaku pada Mac lalu di rumah sewa suspek di Kampung Telok Awak, Teluk Bahang.

“Video berkenaan dipercayai dirakam rakan suspek dan ketika itu bayi lelaki berkenaan baru berusia lima bulan,” tambahnya.

Terdahulu, laman sosial kecoh apabila tular satu rakaman video berdurasi 30 saat menunjukkan lelaki memberi minuman keras kepada seorang bayi.

Netizen turut meluahkan rasa kesal dan berharap pelaku menerima hukuman setimpalnya.

Sumber: Berita Harian