MENGGIGIL sebelum dibawa masuk ke mahkamah.
Demikian gerak-geri kegelisahan suspek utama yang juga rakan mangsa pembunuhan kejam Siti Nur Surya Ismail, 19, ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Marang, Terengganu pagi tadi.
Suspek yang juga pelajar perempuan tingkatan enam yang dipercayai mengelar beberapa kali pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus, direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dijalankan kerana membunuh.

Terdahulu, remaja perempuan berusia 19 tahun itu tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Marang kira-kira pukul 10.10 pagi.
Suspek kelihatan menggigil ketika dibawa keluar dari kenderaan polis sebelum dibawa masuk ke mahkamah.
Suspek yang juga kenalan mangsa sebelum ini ditahan selepas diserahkan ibunya pada pukul 8.15 pagi semalam ketika datang ke Balai Polis Telemong.
Tangkapan terhadap suspek dibuat berdasarkan bukti yang ditemui di lokasi kejadian dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah burung berhampiran kediaman mangsa.
Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun ditemui mati dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Kampung Lubok Batu, Telemong, Kuala Berang kelmarin.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa ditemui tertiarap di ruang tamu rumah berkenaan oleh adiknya, Siti Nur Syuhada, 15, yang baru pulang dari sekolah.
Ketika kejadian, hanya ibu mangsa, Zaini Musa, 55, yang terlantar sakit angkara kanser otak berada di rumah.
Dalam pada itu, bapa arwah, Ismail Muda, 58, menyifatkan arwah seorang yang baik dan sangat menyayangi ibunya.
“Demi kasih arwah terhadap ibunya, dia sanggup mengorbankan pelajarannya apabila mengambil keputusan tidak menyambung pengajian selepas tamat tingkatan lima.
“Dia bercita-cita menjadi seorang pelukis pelan dan sepatutnya menyambung pengajian dalam bidang lukisan pelan senibina di Akademi Binaan Negara (ABN) Hulu Terengganu Januari tahun ini.
“Bagaimanapun apabila memikirkan ibunya yang terlantar sakit, dia melupakan impian bergelar pelukis pelan kerana mahu menumpukan perhatian menjaga ibu,” kata Ismail ketika ditemui Harian Metro selepas upacara pengebumian jenazah Siti Nur Surya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beladau Selat, malam tadi.
Sumber: Harian Metro