‘Bonus raya’ RM500 untuk penjawat awam Gred 56 ke bawah

Financial freedom photo created by freepic.diller - www.freepik.com

KERAJAAN bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP, lapor Kosmo.

“Kerajaan juga bersetuju untuk memberi bantuan khas sebanyak RM250 kepada Pesara Kerajaan. Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan April iaitu pada 25 April 2022.

“Bantuan khas tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM923 juta dan akan memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai salah satu langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat perancangan awal dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pemberian itu adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia. 

Sumber: Kosmo