Binatang! Lelaki guna umpan gula-gula sebelum rogol budak lapan tahun

SEORANG lelaki disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun selepas mengumpan mangsa dengan gula-gula, berhampiran Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, mangsa dikatakan keluar berseorangan untuk pergi ke rumah mak cik yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Namun ketika dalam perjalanan balik, suspek berusia 25 tahun didakwa menahan kanak-kanak itu dan meminta mangsa mengikutnya dengan memberikan gula-gula.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata suspek didakwa membawa mangsa ke sebuah pondok di kawasan hutan terletak kira-kira 300 meter dari rumah kanak-kanak itu.

Setiba di lokasi kejadian, katanya, mangsa yang ketakutan dikatakan menangis dan mahu pulang ke rumah.

Bagaimanapun, beliau berkata, suspek didakwa menghalang mangsa termasuk dengan menggunakan sebilah pisau, sebelum merogol kanak-kanak berkenaan.

“Mangsa kemudian dibenarkan balik dengan diberi wang sebanyak RM5 dan diarahkan supaya tidak memberitahu kejadian itu kepada bapanya.

“Namun setiba di rumah, mangsa terus menceritakan kejadian menimpanya kepada ahli keluarga sebelum laporan polis dibuat pada hari sama.

“Sebaik saja menerima laporan, polis terus menjalankan siasatan, manakala kanak-kanak itu turut dirujuk kepada doktor pakar yang kemudian mengesahkan ada kesan koyakan baharu di kemaluan mangsa.

“Polis berjaya menahan suspek di kawasan Wisma YLY, Inanam, semalam, sekali gus merampas barang kes berkaitan.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku merogol mangsa, malah keputusan ujian saringan awal air kencing juga menunjukkan lelaki itu positif methamphetamine,” katanya kepada Berita Harian.

Habibi berkata, suspek kini direman hingga 3 Disember depan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Sumber: Berita Harian