Home Terkini Bertabahla warga Selangor, PKPB dilanjut sehingga 20 Disember

Bertabahla warga Selangor, PKPB dilanjut sehingga 20 Disember

FOTO: Bernama

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur dan Selangor yang dijadualkan tamat pada Ahad, dilanjutkan 14 hari lagi, sehingga 20 Disember ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, tiga daerah di Selangor iaitu Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor diumum Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 20 Disember.

Jelasnya, PKPB di Putrajaya, Pulau Pinang, Perak, Labuan, Negeri Sembilan dan Kelantan, Johor dan Labuan pula ditamatkan dan kembali ke PKPP.

“Namun, PKPB di seluruh Perak yang ditamatkan pada 6 Disember diteruskan di Kinta, Mukim Teja, Mukim Changkat Jong. PKPB di seluruh Kelantan yang tamat pada 5 Disember kecuali Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas

“Selain Seremban dan Port Dickson, PKPB di Negeri Sembilan pula ditamatkan pada 6 Disember 2020. Seluruh Johor ditamatkan PKPB kecuali Johor Bahru, Batu Pahat dan Kulai dan Kota Tinggi.

“Di Sabah, semua PKPB dilanjutkan sehingga 20 Disember dan PKPD di K Avenue Mega City Penampang ditamatkan namun terikat dengan PKPB. Kebenaran untuk pergerakan luar keluar dari Sabah juga tidak lagi diperlukan,” katanya semasa sidang media pada Sabtu.

Dalam pada itu katanya, negeri-negeri lain seperti Terengganu, Pahang, Kedah, Perlis, Melaka dan Sarawak kekal di bawah PKPP sehingga 31 Disember 2020.

Ia berikutan situasi peningkatan kes positif selain penilaian Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendapati masih terdapat lokasi yang berisiko tinggi bagi penularan COVID-19.

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor bermula 14 Oktober hingga 27 Oktober.

Bagaimanapun, tambahan lanjutan tempoh itu diumum sebelum ini sehingga 9 November dan terkini sehingga 6 Disember.

Sementara itu jelas Ismail, PDRM menahan 491 individu atas pelbagai kesalahan, 437 individu telah dikenakan kompaun dan 54 individu direman pada Jumaat.

“Seramai 116 PATI pula ditahan semasa Ops Benteng serta pihak berkuasa merampas satu bot dan satu kenderaan darat.

“Sebanyak 294 sekatan jalan raya juga telah diadakan di seluruh negara dalam tempoh berkenaan.,” ujarnya.

Pada Jumaat, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, Malaysia mencatatkan sebanyak 1,141 jangkitan baharu COVID-19 bagi tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan kes pandemik itu di negara ini sebanyak 70,236 kes.

Katanya, daripada jumlah itu terdapat tiga kes import dilaporkan yang menerima jangkitan dari luar negara.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham berkata, peningkatan kes COVID-19 khususnya di Lembah Klang tidak bermakna PKPB yang dilaksanakan, gagal dan tidak berkesan.

Jelasnya lagi, jumlah kes direkodkan membuktikan aktiviti pengesanan aktif dan kesihatan awam berjalan dengan efektif.

Sumber: Awani

Exit mobile version