**DIKEMASKINI: Didakwa terlibat kes rogol, cabul serta seks luar tabii, enam laporan polis dibuat terhadap pendakwah selebriti

PENDAKWAH selebriti yang kini sedang ditahan reman bagi membantu siasatan dakwaan kes rogol seorang kenalannya, dilaporkan terlibat dengan satu lagi kes dakwaan cabul terhadap seorang lagi wanita.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian tersebut didakwa berlaku pada 17 Oktober lalu sekitar pukul 1 pagi.

“Mangsa telah dipelawa ke rumah suspek di kawasan Damansara Perdana untuk mengajar ilmu pemasaran perniagaan.

“Mangsa telah dicabul dan dipaksa melakukan seks oral,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, polis menerima laporan pada 29 November lepas melibatkan mangsa berusia 22 tahun.

Difahamkan, mangsa merupakan seorang pelajar kolej tempatan yang mendakwa dirinya dicabul pendakwah selebriti berkenaan.

Terdahulu pada 27 November lepas, suspek yang juga bekas peserta program realiti agama berusia 25 tahun itu telah ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana didakwa telah merogol seorang wanita berusia 23 tahun pada September tahun lalu.

Berdasarkan laporan mangsa, suspek mempelawa mangsa ke rumahnya untuk merawat penyakit kemurungan yang dihadapi mangsa sebelum mangsa mendakwa akhirnya diperkosa suspek.

Terbaharu sebentar tadi, polis mengesahkan telah menerima enam laporan polis berkaitan kesalahan seksual melibatkan pendakwah selebriti terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, kesemua laporan yang diterima, lima daripadanya di daerah Shah Alam manakala satu lagi laporan di Petaling Jaya.

“Suspek akan dipohon reman untuk siasatan kes yang baru diterima.

“Polis menyeru sekiranya terdapat mangsa-mangsa lain agar tidak perlu bimbang untuk tampil membuat laporan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menurut Fadzil, siasatan terhadap suspek ketika ini merangkumi beberapa kesalahan merangkumi kes rogol, cabul, serta seks luar tabii.

Difahamkan reman terhadap suspek bagi kes pertama akan tamat pada 1 Disember sebelum lanjutan reman dibuat bagi kes seterusnya. – TheNews Malaysia

Most Popular