Belanjawan 2021 lulus, usaha jatuhkan kerajaan gagal

DEWAN Rakyat hari ini telah meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) sebaik sahaja bacaan kali ketiga diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan 108 wakil rakyat menyokong, 108 menolak manakala seorang tidak hadir.

Menerusi keputusan itu, ini secara tidak langsung telah menggagalkan usaha pihak tertentu yang cuba berusaha untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keputusan berhubung Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Sejurus pengumuman itu dibuat, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memohon agar RUU Perbekalan 2021 dibacakan kali ketiga sekaligus diluluskan.

Azhar mengumumkan mengenai kelulusan Belanjawan 2021 sebaik sahaja mendapat persetujuan secara majoriti dalam kalangan Ahli Parlimen.

Sebelum itu, sidang ditangguhkan selama 10 minit bagi memberi laluan kepada undian belah bahagian bagi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 seperti yang dikemukakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Keputusan undian bagaimanapun memihak kepada kerajaan apabila 111 Ahli Parlimen bersetuju, 108 yang menolak dan seorang tidak hadir.

Difahamkan, individu yang tidak hadir merupakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (BN).

Sementara itu, Ahli Parlimen Tapah yang juga Menteri Sumber Manusia M Saravanan serta P Prabakaran (PH-Batu) mengundi dari Galeri Awam kerana masih dalam kuarantin Covid-19. – TheNews Malaysia