Bapa kanak-kanak keluar badan daripada kereta ditahan polis

POLIS telah menahan bapa kepada kanak-kanak yang terlibat dalam satu video tular di media sosial yang memaparkan tiga kanak-kanak mengeluarkan kepala dan sebahagian badan mereka daripada sebuah kereta.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada jam 9.30 malam tadi di Sunway City, Ipoh, lapor Astro AWANI.

Menurutnya, lelaki itu ditahan reman selama dua hari mulai hari ini sehingga esok (Sabtu).

“Semakan mendapati beliau mempunyai 32 rekod kesalahan trafik,” katanya dalam kenyataan kepada Astro AWANI.

Menurut beliau, kanak-kanak yang terbabit pula berumur 4, 7 dan 8 tahun.

Pada Khamis, Mior Faridalathrash berkata, polis sedang mengesan pihak yang terlibat dalam satu video tular di media sosial yang memaparkan tiga kanak-kanak mengeluarkan kepala daripada sebuah kereta yang sedang bergerak.

Menurutnya, kejadian disyaki berlaku di Jalan Tambun dekat sini namun tarikh dan masa sebenar kejadian masih belum dikenal pasti.

Sumber: Astro AWANI