10 gengster terciduk, 23 lagi diburu angkara berebut kawasan

KAN dah terciduk… Polis menahan 10 lelaki disyaki terbabit dalam pergaduhan antara dua kumpulan di Taman Juara Jaya, Batu 9, Cheras di ibu negara semalam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, pihaknya turut memburu 23 lagi suspek disyaki terlibat kes tersebut.

“Motif kejadian disebabkan perebutan kawasan penjualan dadah antara Geng 08 Sg Besi Indah diketuai individu bernama Sara dan Geng 36 Bukit Belimbing, Kajang diketuai individu bernama Tan.

“Ops Cantas bersepadu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, JSJ IPD Serdang dan JSJ IPK Selangor telah menahan 10 suspek dan akan direman,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Fadzil berkata, pihak polis telah mengenal pasti beberapa individu bagi membantu siasatan.

“Terdapat dua mangsa cedera dan sedang dirawat di hospital dalam kejadian tersebut,” ujarnya.

Terdahulu, dua buah video viral di media sosial memaparkan kejadian dua kumpulan bersenjatakan parang di Taman Juara Jaya bergaduh sesama sendiri.

Terdapat tiga buah kereta milik ahli kumpulan terbabit berlanggar antara satu sama lain.

Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASK Mohd Radzee Jamudi di talian 019-6655811.

kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – TheNewsMalaysia

Exit mobile version