KUALA LUMPUR, 23 Ogos- Konsep ‘Sukan Patuh Syariah’ yang diaplikasi dalam Terengganu Fight Festival 2023 nyata mendapat sambutan baik petinju-petinju berpengalaman.
Konsep tersebut menggariskan semua pesertanya digalakkan menutup aurat.
Bagi atlet berpengalaman, Mohd Rafi Abd Manaf atau lebih dikenali sebagai Mat Ropi Singa Muda, konsep tersebut adalah satu usaha yang baik malah sangat dialu-alukan.
Atlet dari kelab Muaythai Kuda Merah PDRM itu juga tidak ada masalah untuk menyokong usaha tersebut.
“Ianya bermula dari Kelantan kalau tidak silap, petempur atau atlet dikehendaki mengenakan seluar ketat daripada atas hingga lutut.
“Saya rasa benda tu (konsep ‘Sukan Patuh Syariah’) tidak menggangu sama sekali untuk kita beraksi malah saya rasa elok kita guna seluar ketat untuk menutupi aurat kita dengan lebih baik.
Terengganu Fight Festival akan berlangsung pada 29 dan 30 September depan di Stadium Tertutup Gong Badak dengan dijayakan sepenuhnya mengikut konsep ‘Sukan Patuh Syariah’.
Penolong Pengarah Majlis Sukan Terengganu Nasree Najmi berkata konsep ‘Sukan Patuh Syariah’ dan ‘Fit Is Sunnah’ bukanlah perkara baharu, malah telah dilaksanakan dalam beberapa siri kejohanan muay thai di negeri itu sebelum penularan wabak Covid-19 melanda negara.
“Kerajaan negeri telah memberi beberapa garis panduan untuk diikuti di mana atlet boleh memakai seluar pendek tetapi perlu memakai seluar ketat menutup lutut dan pusat.
“Sukan lain juga tidak terkecuali. Apa sahaja atlet sukan yang ingin bertanding, penganjur perlu mematuhi dasar kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur.
Festival sukan tersebut bakal mencipta sejarah dengan diiktiraf oleh Malaysia Book of Records menerusi persembahan seni mempertahankan diri 16 jam tanpa henti, melibatkan pakar karate, wushu, taekwondo, silat, tinju dan judo.
Pesta dua hari itu dijangka dihadiri 10,000 hingga 20,000 penonton.
Sumber: Kosmo