Skuad B-17 Negara Capai Misi Di Doha

BARISAN pemain skuad Bawah 17 tahun (B-17) negara boleh senyum seketika apabila misi mereka ‘berguru’ dua minggu di Doha, Qatar berakhir dengan cemerlang selepas mencatatkan lima kemenangan dan hanya satu saja tewas pada aksi persahabatan.

Pengurus pasukan Christopher Raj berkata, komitmen yang dipamerkan barisan pemain muda itu cukup baik apabila mereka berjaya merencanakan setiap strategi tanpa sebarang masalah hingga mencatatkan jaringan gol yang besar.

Beliau berkata, barisan pemain menjaringkan 21 gol dan hanya bolos empat kali meskipun menempuh cabaran berlatih dan beraksi dalam bulan Ramadan.

“Sebagai pengurus pasukan, saya sangat berbangga dengan prestasi, disiplin dan komitmen yang ditunjukkan oleh para pemain yang dipanggil serta barisan kejurulatihan sepanjang dua minggu di Doha, Qatar.

“Saya berharap para pemain mendapat pengalaman yang bernilai untuk dibawa pulang ke tanah air sekali gus menambahbaik aspek permainan di dalam dan luar padang,” katanya kepada Harian Metro.

Selain itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada para penyokong yang terus menerus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pemain muda negara sepanjang mereka berada di Qatar.

Sumber & Gambar : Harian Metro