Quique Setien menegaskan dia tidak akan takut untuk berterus terang dengan Lionel Messi dan bintang Barcelona yang lain di samping yakin hubungannya dengan skuad itu akan berjalan dengan sangat baik.
Setien dilantik sebagai pengurus baru Barca kelmarin selepas kelab itu memilih untuk berpisah dengan Ernesto Valverde walaupun menduduki puncak LaLiga.
Ia merupakan peranan terbesar buat pengurus berusia 61 tahun itu selepas mengosongkan jawatannya di Real Betis hujung musim lalu.
Bagaimanapun, Setien tidak meragui corak serangan yang akan ditetapkannya — gaya permainan yang sesuai dengan Barca — sambil menegaskan bahawa kerja keras perlu diutamakan terlebih dahulu.
“Saya telah bercakap dengan barisan pemain dan kesanggupan mereka adalah luar biasa,” kata Setien dalam sesi pengenalannya kepada media malam tadi.
“Saya bukan hanya bercakap kepada Messi, malah pemain lain bahawa saya menikmati perlawanan pasukan dan pemain ini di kaca televisyen. Mereka membenarkan saya untuk menikmati bola sepak sejati, setiap hari dan setiap perlawanan.
“Acap kali ada sesuatu yang menyeronokkan untuk ditonton. Sudah tentu hari ini, saya berkesempatan untuk menguruskan pemain terbaik di dunia dan rakan sepasukannya, saya masih tidak pasti apakah perasaannya.
“Satu perkara yang pasti ialah kekaguman saya terhadap seseorang, kemudian saya berdepan realiti — Messi adalah Messi, (Gerard) Pique adalah Pique, (Sergio) Busquets adalah Busquets, saya yakin hubungan saya dengan semua orang akan berlangsung dengan luar biasa.
“Mereka akan melihat apa yang saya suka, ikhlas dan berterus terang. Jika saya melihat sesuatu yang saya tidak suka, saya akan menyatakannya dan cuba memperbaikinya.
“Saya yakin kami akan saling memahami dengan kadar segera kerana banyak perkara yang saya mahu cadangkan kepada mereka, mereka sudah sedia maklum.
“Kerja keras adalah perkara paling mustahak. Begitu juga dengan keyakinan tetapi saya menagih kerja keras yang sebenar. Saya sedia mendengar cadangan semua orang tetapi adalah sukar untuk menyingkirkan idea itu daripada fikiran saya.”
Setien akan kehilangan khidmat penyerang, Luis Suarez, buat sementara waktu berikutan perlu berehat selama empat bulan ekoran pembedahan lutut.
Pengurus itu belum memutuskan bagaimana dia akan mencorakkan pasukannya tanpa seorang tonggak penting.
“Banyak perkara yang perlu kami bincangkan, jadi kami tidak berkesempatan untuk membincangkan mengenai perkara ini,” kata Setien yang mula mengawasi sesi latihan semalam.
“Kami belum menilai perkara ini dengan sempurna tetapi pandangan saya jelas bahawa kami perlu sentiasa mempunyai kesepakatan dalam membuat keputusan; mereka mendengar, saya mendengar.
“Kami semua membuat kesilapan, kami semua juga membuat tindakan dengan tepat. Kami kehilangan pemain utama tetapi kami perlu memikirkan tentang pemain yang boleh diturunkan.
“Kami mungkin akan bermain dengan formasi 4-3-3 atau 4-4-2 kerana ia sering diamalkan kebelakangan ini tetapi saya akan mengetepikan soal itu terlebih dahulu kerana saya perlu bercakap dengan pemain.”
Sumber – Stadium Astro