PENGUMUMAN penyertaan kembali pemain bola sepak sensasi Cristiano Ronaldo ke Manchester United Ogos tahun lalu pastinya membuat peminat The Red Devils teruja.
Namun lain pula cerita yang terjadi di sebalik bilik persalinan kelab ternama itu apabila rakan sepasukan Ronaldo dikatakan tidak berpuas hati serta bimbang akan pengaruhnya.
Menerusi laporan media tempatan, bilik persalinan skuad yang dikendalikan Ralf Rangnick kini tidak sehaluan malah Ronaldo didakwa menjadi punca perpecahan itu.
Dia yang kembali ke Old Trafford musim panas lalu itu dikatakan mengganggu corak permainan pasukan berbanding menambah baik prestasi United.
Beberapa tonggak utama pasukan didakwa mula menuding jari ke arah bintang Bintang Portugal itu.
Selepas kekalahan di tangan Wolves, pemain bek tengah, Luke Shaw mengakui skuad United kini tidak lagi sehaluan, dan mendakwa mereka kurang komited.
Antara faktornya ialah Ronaldo membentuk kumpulannya sendiri dengan pemain-pemain yang boleh berbahasa Portugis iaitu Bruno Fernandes, Diogo Dalot, Fred dan Alex Telles.
Laporan media tempatan turut mendedahkan yang seramai 11 pemain mahu meninggalkan kelab.
“Ia tidak bagus. Suasana sekarang amat buruk dan ia kelihatan seperti masalah besar sedang menanti United,” kata laporan berkenaan.
Sumber: Berita Harian