Salah Jadi Sasaran Al-Ittihad, Sedia Bayar Yuran Perpindahan Kepada Liverpool

LIVERPOOL – Kelab gergasi Liga Arab Saudi, Al-Ittihad memasang hajat besar apabila menjadikan bintang Liverpool, Mohamed Salah sebagai sasaran seterusnya selepas menawarkan kontrak bernilai £180 juta (RM1.04 bilion).

Selain itu, Al-Ittihad juga dikatakan sedia untuk membayar yuran perpindahan kira-kira £60 juta (RM349.35 juta) kepada Liverpool bagi mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Mesir tersebut.

Pasukan yang terkenal dengan julukan The Tigers itu mula berkira-kira untuk membawa masuk Salah sebaik mereka tersingkir di suku akhir Piala Juara-Juara Kelab Arab selepas tewas 1-3 kepada Al-Hilal.

Bagaimanapun, ejen Salah, Ramy Abbas menegaskan, pemain berusia 31 tahun itu tidak akan meninggalkan Anfield dan sedia untuk terus menyarung jersi Liverpool sehingga kontraknya berakhir pada 2025.

“Sekiranya kami membuat pertimbangan untuk meninggalkan Liverpool, tidak mungkin kami akan memperbaharui kontrak pada musim panas tahun lepas. Mohamed (Salah) akan terus komited bersama Liverpool,” katanya.

Terdahulu, beberapa media Arab melaporkan Al-Ittihad sedang mengadakan rundingan bersama Salah dengan pemain Mesir itu dikatakan tergoda dengan tawaran yang dilakukan pasukan tersebut.

Untuk rekod, Salah baru sahaja menandatangani kontrak lanjutan selama tiga tahun sehingga 2025 dan menerima gaji £350,000 (RM2.03 juta) seminggu, sekali gus memberi kesukaran kepada pasukan lain bagi mendapatkan khdimatnya.

Walaupun dinafikan Abbas, namun masih ada spekulasi yang mendakwa Al-Ittihad akan terus memancing khidmat Salah, begitu juga Al-Hilal yang turut dikaitkan dengan bintang Mesir itu. – AGENSI