Messi pemain nombor 9, 10, 11, 7, 6, 5, 4 terbaik, kata Guardiola

Fenomena Sergio Aguero selaku penggempur terbilang Manchester City meletakkannya sebagai antara yang terbaik di dunia tetapi Guardiola tetap menganggap Lionel Messi masih berada di tahap berbeza.

Aguero menjaringkan hatrik ketika City membenam Aston Villa di gelanggang lawan awal pagi tadi untuk mengatasi rekod Thierry Henry selaku pemain bukan Inggeris paling banyak menjaringkan gol dalam sejarah ,

Hatriknya yang ke-12 itu juga meletakkannya selaku pendahulu baru dengan mengatasi rekod yang dipegang Alan Shearer sebelum ini.

Ditanya sama ada Aguero merupakan pemain terbaik yang pernah berada di bawah kendaliannya, Guardiola seakan-akan terpaksa untuk membandingkannya dengan pemenang enam kali anugerah Ballon d’Or, Lionel Messi.

“Pemain terbaik adalah Messi,” katanya dengan tersenyum sembil kelihatan berhati-hati untuk mengeluarkan kenyataan lanjut.

“Messi (pemain) nombor 9, nombor 10, nombor 11, nombor 7 nombor 6, nombor 5, nombor 4 (terbaik)…

“Tetapi Sergio dalam kelompok itu, dia salah seorang daripada mereka.

“Saya sudah katakan banyak kali, dia akan berusaha sedaya-upaya untuk menjaringkan gol. Itu adalah bakatnya,” katanya.

Keadaan di Barca amat tegang beberapa hari ini dengan legenda kelab itu, Xavi, dikatakan menolak peluang untuk menggantikan pengurus, Ernesto Valverde, yang semakin tertekan untuk mempertahankan kedudukannya.

Guardiola meluahkan rasa simpati terhadap bekas pengurus Athletic Bilbao itu, yang menjuarai LaLiga dalam kedua-dua musim di bawah kendaliannya dan skuad Blaugrana itu juga masih mendahului liga musim ini.

“Barcelona tempat yang istimewa kerana memenangi liga sahaja masih belum mencukupi.

“Saya kasihan dengan Ernesto. Saya fikir dia tidak sepatutnya dilayan seperti itu.

“Harap-harap kami dapat segera menyelesaikannya sebagai sekutu kepada kelab itu,” katanya lagi.

 

Sumber- Astro Stadium